fbpx
Others

Adakah Belia Sabah Akan Menjadi Buruh Di Ibu Negara Indonesia Yang Baru?

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr

Jika kerajaan Sabah tidak mengambil langkah proaktif terhadap pembangunan belia, tidak mustahil jika golongan ini yang akan menjadi tenaga buruh murahan di ibu negara Indonesia yang baru.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, telah mengumukan bahawa negara terbesar di Asia Tenggara itu akan memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke sebuah lokasi di wilayah Kalimantan Timur, berhampiran Samarinda dan Balikpapan. Ini bertujuan untuk mengurangkan beban terhadap Jakarta yang sudah pun terlalu sesak kerana populasi yang terlalu tinggi.

Kerana lokasinya yang berhampiran dengan negeri Sabah, Ketua Menterinya Datuk Seri Shafie Apdal, telah pun mengumumkan beberapa perancangan untuk menyahut peluang-peluang ekonomi yang akan muncul dengan pembinaan ibu kota Indonesia yang baru.

Akan tetapi, adakah Sabah benar-benar bersedia untuk berjiran dengan ibu kota Indonesia yang baru itu? Sedia maklum keadaan ekonomi Sabah sekarang bukanlah dalam keadaan yang terbaik, dan kewujudan ibu kota Indonesia yang berhampiran boleh mempengaruhi Sabah.

Adakah kerajaan negeri sudah pun membuat pelaburan ekonomik terhadap Sabah? Membangunkan infrastruktur asas, melatih tenaga kerja yang berdaya saing, menarik pelabur asing untuk membina perniagaan dan peluang pekeraan, dan melantik barisan pentadbiran yang berintegriti?

Jika dilihat pada rekod kerajaan Warisan setakat ini, kita tidak boleh mengatakan bahawa kerajaan yang dipimpin Datuk Shafie sekarang menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang.

Ramai rakyat hilang pekerjaan, projek yang diluluskan juga tidak memuaskan hati rakyat dan kerajaan negeri juga terlibat dalam urus niaga yang tidak menguntungkan rakyat. Tidak masuk lagi lambakan pendatang asing yang masih mengancam keselamatan Sabah, serta menganggu peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Menurut laporan Bernama pada Ogos 2019, seramai 112,000 penganggur telah direkodkan dalam negeri itu, iaitu kedua tertinggi dalam Malaysia. Situasi ini tidak nampak seperti ia akan pulih dalam masa tahun-tahun terdekat ini, jika kita lihat pada prestasi kerajaan Warisan sekarang.

Negeri Sabah berkemungkinan akan kehilangan sumbernya yang paling bernilai: rakyatnya, terutamanya golongan belia. Golongan ini yang menjadi tunjang kepada pembangunan Sabah pada masa akan datang, jika tidak dilatih dan dimanfaatkan, sudah tentu akan keluar daripada negeri untuk mencari rezeki.

Jika situasi seperti ini berkekalan, entah-entah orang Sabah yang akan mencari pekerjaan di Indonesia sebagai tenaga kerja murahan, bukan sebaliknya.

Seruan Syed Saddiq untuk mencipta 350,000 peluang pekerjaan daripada Belanjawan 2020 perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri, dengan menyediakan latihan sewajarnya kepada golongan belia untuk melengkapkan mereka dengan perubahan yang dibawa Revolusi Industri Ke-4 (IR4.0).

Mengapakah kerajaan negeri tidak ingin melabur dengan lebih banyak kepada rakyat Sabah sendiri? Ini adalah untuk kebajikan dan kesejahteraan sosioekonomi negeri itu sendiri, dan untuk muncul sebagai jiran yang kompetitif kepada Indonesia.

Setakat ini Datuk Shafie cuma mengumumkan pembangunan di kota-kota sempadan seperti Serudong, Pagalungan, Pulau Sebatik dan Long Pasia. Langkah ini memang wajar dipuji, tetapi kerajaan Warisan harus memberikan maklumat yang lebih jelas tentang perkara ini. Peluang pekerjaan yang diwujudkan perlulah ditumpukan kepada rakyat Sabah sahaja, dan bukan PTI.

Kerajaan Sabah harus mula melakukan langkah yang proaktif sekarang, agar ekonomi Negeri Di Bawah Bayu itu nampak setanding dengan ibu negara Indonesia yang baharu.

Write A Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.