ITU sahaja pilihan mereka, sama ada mereka sampai ke sekolah atau berdepan maut dek dihanyutkan arus deras sungai.
Mereka seolah-olah mempertaruhkan nyawa bukan sahaja pelajar, malah penduduk kampung hanya untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah setiap hari.
Gambaran itu mungkin sukar untuk dipercayai tetapi perkara ini masih berlaku.
Ini kerana selepas tular beberapa gambar pada Januari lalu yang dipercayai berlaku di Kampung Muhang, Kota Marudu, Sabah, terdapat sekumpulan murid-murid sekolah rendah terpaksa meniti sebuah saluran paip di Sungai Jambutan semata-mata untuk pergi ke sekolah.
Bagi murid-murid yang masih kecil, ibu bapa mereka pula mengambil langkah berani mati dengan meminta kanak-kanak berpaut pada leher untuk melepasi ‘jambatan maut’ itu untuk tujuan yang sama.
Lebih menyayat hati, keadaan saluran paip itu juga kelihatan senget, arus deras sungai dan amat berbahaya bukan sahaja kepada orang dewasa, apatah lagi pelajar sekolah.
Jika tersalah langkah, pasti akan jatuh dan dibawa arus.
Pada mereka, soal keselamatan perkara nombor dua, apa yang penting adalah untuk mendapatkan pendidikan.
Jika perkara ini masih tidak mendapat perhatian Kerajaan Negeri Sabah, apakah nasib seterusnya buat mereka.
Justeru, apalah gunanya Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal menubuhkan Kementerian Pelajaran dan Inovasi negeri jika isu pendidikan seperti itu masih tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Sedangkan, aspek pendidikan di negeri itu menjadi senarai penting sehingga meletakkan pada teras kelima dalam manifesto Warisan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Namun begitu, disebalik semua janji-janji manis yang ditabur Warisan kepada rakyat Sabah, semuanya diibarat seperti ‘indah khabar dari rupa’.
Jika direnung sedalam-dalamnya, kemudahan jalan raya adalah perkara paling asas untuk rakyat.
Lebih-lebih lagi kemudahan itu amat diperlukan anak-anak Sabah bagi tujuan pendidikan.
Anehnya, kenapa Mohd Shafie boleh biarkan isu itu berlaku. Yang pasti ianya bukan isu biasa malah melibatkan nyawa murid-murid sekolah dan penduduk kampung.
Isu keuzuran sekolah bukan sahaja di kawasan bandar, apatah lagi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Semuanya masih tiada perubahan.
Isu kemudahan air bersih, elektrik dan kelengkapan teknologi, guru dan banyak lagi masih berlaku meskipun dua tahun sudah memerintah negeri.
Biarpun masih belum mampu menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pelajar sekolah, sekurang-kurangnya sedialah kemudahan jalan raya yang lebih selamat untuk pelajar pergi ke sekolah.
Jadi, jika isu remeh yang sering dijadikan modal meraih undi simpati semasa PRU lalu tidak juga diselesaikan Mohd. Shafie, apakah inovasi terhadap pendidikan akan beliau lakukan kepada anak-anak tempatan di negeri itu.
Justeru, kepercayaan rakyat terhadap Warisan semakin hari semakin kurang. Rakyat mula hilang kepercayaan terdapat pemerintahan Mohd Shafie yang hanya memihak kepada isu-isu tertentu sahaja tanpa memberi tumpuan kepada suara diperingkat akar umbi.
Apa yang dilakukan beliau hanya untuk menghapuskan parti BN di Sabah sedangkan parti itu yang mengangkat dirinya sehingga menjadi Menteri Persekutuan suatu ketika dahulu.
Dan ini bukanlah kehendak rakyat sebaliknya, rakyat hanya mahu kesejahteraan, kesenangan dan kemajuan seperti mana yang dijanjikannya dalam PRU-14 lalu.
Oleh yang demikian, sedarlah wahai pemimpin Warisan. Usahlah mendabik dada dengan melaksanaan program-program kepentingan parti semata-mata.