Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan untuk membenarkan permohonan injunksi (injunction) daripada Pelangi Prestasi Sdn Bhd (PPSB) berkenaan perjanjiannya untuk membeli Sabah Forest Industries (SFI).
Injunksi tersebut bertujuan untuk menghalang pelaksanaan syarat-syarat baru yang diperkenalkan oleh Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI), yang sekarang diuruskan oleh kerajaan negeri Sabah, dalam pemberian lesen pembalakan baru.
Syarat-syarat baru ini diperkenalkan selepas kerajaan negeri bertukar tangan dan kini dipimpin oleh parti Warisan, yang diketuai oleh Dato’ Seri Shafie Apdal, selepas PRU14.
Pihak administrasi (Receiver & Manager) SFI buat masa ini, Grant Thorton Consulting Sdn Bhd (GTC) juga sebelum ini telah bertindak memohon pembatalan (strike out) injunksi tersebut, tetapi permohanan tersebut telah ditolak oleh mahkamah pada 22 Oktober juga.
Injunksi ini juga bermaksud SFI tidak dibenarkan untuk berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang berminat untuk membeli syarikat itu.
Isu ini timbul berikutan syarikat dari China, Lee & Man Paper Manufacturing Ltd (L&M) yang telah dibenarkan oleh kerajaan Sabah untuk mengambil alih SFI.
Perkara ini berlaku walaupun PPSB sudah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan kerajaan Sabah yang lama untuk mengambilalih SFI dengan harga RM1.2 bilion.
Sebagai membuktikan komitmen terhadap SPA yang telah ditandatangani pada April 2018 itu, PPSB sudah pun membayar deposit sebanyak 10 peratus atau RM120 juta. Selain itu, mereka juga telah membayar gaji para pekerja SFI sehingga awal tahun 2019.
Namun selepas PRU14, kerajaan Sabah yang baru enggan memenuhi SPA tersebut, tidak mengeluarkan lesen pembalakan kepada PPSB dan dalam tindakan yang tidak dijangkakan, telah mempelawa syarikat dari China, L&M, untuk mengambil alih SFI.
Di atas tindakan yang mencurigakan ini, PPSB telah mengambil langkah undang-undang untuk mempertahankan haknya dalam pemilikan SFI, seperti yang sudah dijanjikan dalam SPA.
Isu pemilikan SFI kini berada dalam perbicaraan mahkamah sejak awal tahun ini, dan dijangka tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
Dan yang lebih malang adalah para pekerja SFI yang sengsara sewaktu pemilikan SFI masih terumbang-ambing. Operasi SFI kini dihentikan kerana masih tidak mempunyai pemilik, menyebabkan para pekerjanya cuma dibayar gaji asas dan tanpa elaun tambahan.
Gaji asas mereka tidak cukup untuk menyara hidup keluarga mereka, maka sesetengah pekerja SFI terpaksa mencari punca pendapatan sampingan.
Semua isu yang melecehkan ini boleh dielakkan dengan mudah jika kerajaan Sabah memberi laluan dan menuruti SPA yang dipersetujui semua pihak pada April 2018.
Akan tetapi, kini rakyat Sipitang yang bekerja di SFI yang terpaksa menanggung derita kerana kerajaan negeri yang curang dan tidak menuruti perjanjian SPA.

Prev Post