fbpx
Others

Isu Pemilikan SFI Masih Boleh Diselamatkan

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr

Isu Pemilikan SFI Masih Boleh Diselamatkan

Pada 22 Oktober, syarikat Pelangi Prestasi Sdn Bhd (PP) telah dibenarkan untuk meneruskan saman terhadap Lee & Man Paper Manufacturing (L&M) dan Grant Thorton Consulting (GTC), berkenaan isu pemilikan Sabah Forest Industries (SFI) di Sipitang, Sabah.

Walau bagaimana pun, isu ini masih jauh daripada penyelesaian kerana semakan judisial (judicial review) berkenaan kes ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Dan semua ini hanya lebih membebankan rakyat Sipitang yang bekerja di SFI, kerana syarikat pembalakan itu sudah pun berhenti beroperasi sejak dua tahun lepas. Mereka cuma mendapat gaji asas setiap bulan, yang tidak mencukupi untuk menyara hidup mereka.

Tetapi mengapakah kerajaan Sabah masih berdegil untuk tidak menghormati Perjanjian Jual Beli (SPA) yang telah ditandatangani pada April 2018 dan membenarkan PP untuk mengambil alih SFI?

PP sudah pun membuktikan komitmen mereka untuk menjaga kebajikan pekerja SFI, sambil membuktikan kebolehan mereka untuk menyambung operasi kilang syarikat itu.

Namun, kini kerajaan Sabah yang baru telah mengganggu SPA tersebut dan mempelawa syarikat dari luar Malaysia untuk mengambil alih SFI.

Bukankah lebih baik jika SFI terus dimiliki oleh syarikat yang dimiliki orang Malaysia seperti PP, di mana individu tersebut juga merupakan seorang ahli perniagaan yang tersohor dan disegani ramai di atas kejayaan syarikat-syarikatnya?

Berikut adalah artikel sebelum ini yang telah diterbitkan di dalam Sabah Kita, yang ditulis oleh pembaca, Jefri Hasan Saleh:

Kerajaan Sabah Usah Risau, SFI Sudah Ada Pembeli

Berita di Sabah baru-baru ini melaporkan kerajaan negeri itu telah bersetuju untuk membayar gaji para pekerja Sabah Forest Industries (SFI) di Sipitang, sewaktu syarikat itu sedang dialami masalah pemilikan.

Sekali pandang, inisiatif ini nampak seperti satu lagi langkah kerajaan negeri dalam menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga kebajikan rakyat.

Memang betul, inisiatif itu perlu dipuji. Akan tetapi jika kita teliti pada situasi pemilikan SFI ini, kita akan merasa pelik kenapa kerajaan negeri bersusah-susah untuk membayar gaji para pekerja SFI.

Buat yang tidak tahu, SFI sudah pun berhenti beroperasi sejak hampir dua tahun lalu, dan gaji para pekerjanya kini tidak tertentu disebabkan perhentian tersebut.

Sebuah syarikat tempatan, Pelangi Prestasi Sdn Bhd (PPSB), sudah pun memulakan proses untuk membeli SFI dengan menandatangani perjanjian jual beli (SPA) pada bulan April tahun lepas, berjumlah RM1.2 bilion.

PPSB juga sudah pun membayar deposit 10% sebanyak RM120 juta untuk pembelian itu.

Akan tetapi, pembelian itu tertangguh selepas kerajaan negeri bertukar tangan selepas Pilihanraya Umum pada Mei 2018.

Mengapakah kerajaan negeri menangguhkan pembelian SFI oleh PPSB? Perkara ini hanyalah menyukarkan kerja kerajaan itu sendiri.

PPSB sudah pun membuktikan kesungguhannya dalam menunaikan SPA yang telah ditandatangani, dengan membayar gaji para pekerja SFI sehingga Januari 2019 sebelum dihentikan oleh pihak penerima (Receiver & Manager) SFI.

Jadi kenapa kerajaan Sabah ingin bersusah payah membayar gaji pekerja SFI, apabila sudah ada syarikat lain yang berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab itu?

Selain itu, laporan berita yang sama juga menyatakan kerajaan negeri tidak dapat membeli syarikat itu kerana kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk perkara itu.

Kenapa kerajaan negeri risau tentang pemilikan SFI, sedangkan sudah ada syarikat tempatan lain yang sudi membeli SFI?

Bukankah lebih elok jika tumpuan kerajaan negeri dialihkan ke projek-projek lain yang lebih memerlukan bantuan sekitar Sabah?

Perlu diingat bahawa SFI memainkan peranan yang penting dalam sosioekonomi Sipitang. Majoriti penduduk di daerah itu mencari rezeki di syarikat pembalakan tersebut, dan sebarang krisis yang melanda SFI boleh menjejaskan ekonomi Sipitang dengan teruk.

Pekerja SFI seharusnya tidak perlu lagi merisaukan tentang jaminan gaji mereka pada bulan-bulan hadapan dan sebaiknya isu pemilikan SFI ini diselesaikan segera.

Jawapan kepada krisis pemilikan SFI ini sudah pun berada di depan mata, apa yang kerajaan tunggu lagi?

– Jefri Hasan Salleh

Write A Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.