Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, baru-baru ini telah membuat lawatan rasmi ke Jepun dalam usaha untuk menarik pelaburan asing ke dalam negeri itu.
Beliau bertemu dengan lebih 200 pelabur dan ahli perniagaan daripada 140 syarikat di Kobe, Jepun dengan memberi tawaran menarik kepada mereka, dengan mengiklankan Sabah sebagai sebuah pusat logistik penting dalam laluan perdagangan antarabangsa, yang boleh memudahkan syarikat-syarikat Jepun untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau Asia Tenggara.
Antaranya, Shafie telah mempelawa Toyota untuk membina sebuah kilang dalam negeri Sabah. Hujahnya adalah ini akan menguatkan pasaran Toyota di pulau Borneo memandangkan Indonesia akan memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur. Beliau juga berharap dengan penubuhan kilang Toyota di Sabah, akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyatnya.
Akan tetapi, Shafie perlu ingat bahawa untuk menarik pelaburan asing, negeri itu perlu mempunyai infrastruktur logistik dan perdagangan yang kukuh, dan ini bermaksud pelabuhan yang cekap.
Setakat ini, Sabah mempunyai lapan pelabuhan utama yang boleh diakses oleh kapal-kapal antarabangsa, iaitu Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kudat, Kunak dan Labuan.
Dan untuk menarik hati pelabur asing ke Sabah, penting untuk pelabuhan-pelabuhan ini diurus oleh syarikat yang berpengalaman dan cemerlang. Ini demi memastikan sebarang eksport-import dapat dijalankan mengikut jadual yang ketat.
Contoh pengurus pelabuhan yang cemerlang adalah MMC Corporation Bhd. Menurut laporan antrabangsa, syarikat itu mengendali beberapa pelabuhan utama di Malaysia, dan ia terkenal dengan kebolehannya untuk membawa keuntungan dan melancarkan operasi perniagaan kepada pelabuhan.
Sebagai contoh, pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor yang diuruskan bersama oleh MMC dan Maersk International, merupakan pelabuhan yang paling canggih dalam negara. Dengan memanfaatkan lokasi strategiknya, pelabuhan itu berjaya mengendali lebih banyak muatan setiap tahun, hasil daripada pengurusan yang jelas dan profesional.
Sementara itu, operator pelabuhan terbesar di Malaysia, Westports Holdings Bhd, juga merupakan salah satu daripada syarikat pelabuhan yang cemerlang. Syarikat yang memiliki Pelabuhan Klang itu merekodkan keuntungan konsisten sejak bertahun-tahun lalu.
Sebagai contoh, Westports merekodkan keuntungan sebanyak RM166.31 juta dalam suku kedua 2019, 36.5% lebih tinggi daripada suku kedua 2018.
Manakala, Penang Port juga pernah melalui sejarah buruk apabila pelabuhan tersebut tidak mencatatkan keuntungan. Hanya apabila pihak pengurusannya ditukar kepada yang lebih cemerlang, pelabuhan itu berjaya diselamatkan dan berjaya kembali ke keuntungan.
Kembali di Sabah, pelabuhan di Sepanggar dan Sipitang berpotensi untuk menjadi aset yang bernilai buat negeri itu.
Namun, Sipitang perlu diberi perhatian yang lebih kerana jeti yang sedia ada boleh dinaik taraf kepada pelabuhan yang mampu menampung potensi Sipitang sebagai sebuah bio-hub dan pusat perdagangan yang penting.
Pengurusan pelabuhan bukanlah sesuatu yang mudah, dan hanya syarikat yang cemerlang dengan rekod yang kukuh mampu melakukannya.
Pelabuhan yang efisien bukan sahaja boleh memanfaatkan sumber hasil bumi Sabah dengan menyediakan perkhidmatan eksport, malah berdaya menarik pelaburan asing dari Jepun dan juga lain-lain negara.