fbpx
Others

Kerajaan Sabah Tetap Berkeras Kepala, Mahu Teruskan Empangan Papar

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr

Walaupun menghadapi tentangan yang hebat oleh golongan profesional dan rakyat Sabah, kerajaan Warisan terus berkeras kepala dan tetap ingin meneruskan projek empangan Papar.

Baru-baru ini dua syarikat sudah pun dinamakan sebagai pemaju projek tersebut, iaitu Vizione Holdings Bhd (VHB) dan Pembinaan Maju Cemerlang Sdn Bhd. VHB akan melaksanakan projek itu melalui Wira Syukur (M), sebuah syarikat yang dipunyai sepenuhnya oleh VHB.

Kedua-dua syarikat tersebut telah disenarai pendek dan diberikan surat Hasrat (Letter of Intent, LoI) oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang masih dilanda kontroversi berkaitan pelantikan pengarahnya.

Bagaimanakah dua syarikat tersebut boleh dipilih untuk projek yang dianggarkan akan menelan belanja RM2 bilion ini? Di manakah ketelusan yang perlu dipraktikkan dalam memilih syarikat pemaju untuk projek kerajaan?

Sudah tentunya keputusan untuk menyenarai pendek dua syarikat ini juga dipengaruhi oleh Amarjit Singh, pengarah JANS yang kini dilanda kontroversi kerana pelantikan beliau yang tidak sah di sisi undang-undang.

Tetapi mengapakah kerajaan Warisan meneruskan projek yang penuh kontroversi ini?

Sebelum mereka memegang tampuk pemerintahan kerajaan Sabah, parti Warisan mengatakan bahawa mereka akan menghentikan sebarang projek pembinaan empangan di situ.

Namun, Warisan kini membuat u-turn dan meneruskan projek tersebut walaupun ia dibangkang ramai rakyat Sabah. Kerajaan negeri yang diketuai Shafie Apdal itu sekadar menamakan semula empangan tersebut daripada Empangan Kaiduan kepada Empangan Papar.

Rakyat Sabah membantah kerana projek tersebut boleh menjejaskan kehidupan rakyat di daerah Papar dan Penampang, dan ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada alam sekitar di situ.

Pembinaan empangan tersebut bukan sahaja boleh memusnahkan bio-kepelbagaian Ulu Papar yang merupakan sebahagian daripada Simpanan Biosfera Banjaran Crocker UNESCO, malah memusnahkan 12 buah kampung untuk masyarakat yang sudah menetap di situ selama beratus tahun.

Pada bulan September lepas, sekumpulan rakyat Sabah telah berkumpul di Kuala Lumpur untuk memprotes pembinaan empangan di Papar.

Mereka percaya empangan ini sekadar ‘penjenamaan semula’ empangan Kaiduan yang telah dibantah oleh Pakatan Harapan sebelum PRU14.

Bagaimanakah kerajaan Sabah yang diketuai oleh Shafie Apdal sanggup mengecewakan rakyatnya seperti ini?

Sebelum ini, mereka besama-sama rakyat membantah dalam pembinaan empangan di situ, tetapi selepas memenangi pilihanraya, meneruskan pula empangan tersebut dan sekadar mengubah namanya.

Selain itu, JANS juga bukanlah sebuah badan yang boleh dipercayai sepenuhnya buat masa ini. Jabatan itu diketuai Amarjit Singh, yang baru-baru ini diarah oleh mahkamah untuk meletak jawatannya kerana pelantikannya yang tidak sah di sisi undang-undang.

Namun, Shafie Apdal dan Menteri Infratruktur Sabah, Peter Anthony, secara terang-terangan mengingkari arahan mahkamah itu dan mengarah Amarjit untuk terus bekerja sebagai pengarah JANS.

Malah, Shafie juga menegaskan bahawa pelantikan Amarjit bukanlah salah di sisi undang-undang.

Adakah ini kerajaan negeri yang rakyat Sabah mahukan? Parti yang tidak menunaikan janji-janjinya sendiri, dan kini mengingkari arahan undang-undang pula.

Ini membuatkan kita mempersoakan kredibiliti parti Warisan dalam mentadbir negeri itu. Shafie Apdal dan kabinetnya perlu lebih telus dalam mentadbir Sabah kerana mereka diberi kepercayaan oleh rakyat pada PRU14.

Write A Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.