KEANGKUHAN Parti Warisan Sabah (Warisan) yang tidak mempedulikan suara akar umbi antara punca parti itu kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Sabtu lalu.
Kekalahan itu juga disifatkan sebagai isyarat jelas buat parti tempatan yang berusia setahun jagung untuk tidak terus penting diri khususnya dalam melaksanakan sebarang dasar khususnya melibatkan rakyat di negeri tersebut.
Ini kerana, rata-rata penganalisis politik berpendapat kekalahan parti itu dalam PRK berkenaan adalah berpunca daripada rancangan kerajaan negeri yang dipimpin Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal secara ‘membuta tuli’ tanpa menghiraukan rintihan rakyat dalam isu membabitkan Pas Sementara Sabah (PSS).
Penganalisis politik malah beranggapan, rakyat Sabah bukan menolak warisan, sebaliknya isu yang perlu dibawakan demi kesejahteraan negeri tersebut.
Bagi rakyat di negeri itu, isu PSS bukan sesuatu isu yang perlu dipermainkan kerana ia melibatkan hak kerakyatan yang boleh menjejaskan bukan sahaja hak istimewa rakyat Sabah, sebaliknya membantutkan kesejahteraan dan keharmonian negeri tersebut.
Bagaimanapun, tiga hari selepas pengumuman keputusan PRK Kimanis, Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan untuk tidak meneruskan PSS selaras dengan kehendak dan suara rakyat Sabah.
Dalam soal ini, adalah menjadi keutamaan Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah untuk melaksanakan semua janji-janji yang dibangkitkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan bukannya mewujudkan dasar baharu yang boleh menimbulkan kebimbangkan buat rakyat secara menyeluruh.
Tindakan tidak serius terhadap janji dan manifesto juga menjadikan Warisan berdepan dengan kekalahan teruk di kerusi itu yang pada awalnya diramal menang selesa berikutan ketika PRU-14, partinya memperoleh undi yang hampir sama dengan Barisan Nasional (BN).
Sama juga dalam PRU-14 lalu, Warisan pada dasarnya tidak mampu membentuk kerajaan negeri berdasarkan kepada keputusan PRU-14 lalu bagaimanapun parti itu berjaya membentuk kerajaannya selepas bekas kekutu BN iaitu Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) dan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN lompat parti dan menyertai Warisan.
Adapun pihak menyatakan Warisan akan menjadi parti paling kukuh di Sabah selepas era pemerintahan BN, namun mengapa Kimanis kekal menjadi milik BN. Meskipun sudah 24 bulan Warisan menerajui kepimpinan Sabah.
Anehnya, dalam tempoh sedemikian, adakah Mohd Shafie belum sedar akan mandat dan kepercayaan rakyat yang diberikan rakyat menerusi PRU-14 lalu untuk membawa kemajuan kepada Sabah.
Jika perkara itu diambil perhatian beliau, mengapa beliau sendiri enggan menzahirkan kerjasama bukan sahaja dengan Persekutuan, malah industri tempatan lain yang dilihat mampu menganggkat ekonomi Sabah dalam pelbagai sektor khususnya pelancongan.
Justeru, tidak hairan jika Warisan berdepan kekalahan dalam PRU akan datang sekiranya Mohd Shafie masih bersifat ‘bodoh sombong’ dan angkuh kerana menolak bantuan daripada pihak yang mempunyai kreadibiliti berdasarkan trek rekod yang cemerlang.
Warisan pula perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan partinya dalam PRK tersebut. Lebih molek sekiranya Warisan menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan terus memperhebatkan perkhidmatan bukan sahaja di Kimanis, tetapi juga di negeri Sabah umumnya.
Pada masa yang sama, Warisan perlu meneruskan usaha memperbaiki ekonomi, sistem pendidikan dan pembangunan infrastruktur di negeri Sabah dalam usaha menarik semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Pada 18 Januari lalu, PRK Kimanis menyaksikan calon Barisan Nasional, Datuk Mohamad Alamin memenangi kerusi tersebut menewaskan lawannya, Datuk Karim Bujang dari Warisan dengan majoriti 2,029 undi.