Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kitingan, baru-baru ini menyoal Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal, tentang kehadiran kaunter-kaunter Jabatan Pendaftaran Nasional (JPN) dalam sesi bertemu rakyat yang dibuatnya di pelbagai daerah, seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today.
Jeffrey juga menyoal janji-janji yang dibuat oleh pemimpin Warisan untuk memberikan tanah kepada ‘mangsa-mangsa kebakaran.’ Malah, ‘kebakaran-kebakaran’ ini hanya mula berlaku di kawasan-kawasan setinggan sejak bulan Jun lepas.
Dalam sebuah lagi artikel FMT bertajuk What’s going on with illegal immigrant issue in Sabah?, Kittingan mengatakan banyak kebakaran berlaku di kawasan setinggan orang Filipina selepas Warisan memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri. Beliau risau tentang ‘dokumen pengenalan’ yang diberikan kepada mangsa-mangsa kebakaran ini.
“Warisan mengetengahkan sebuah program untuk membenarkan (legalise) pendatang asing tanpa izin (PATI) dan meletakkan PATI Filipina di sebuah pulau yang berdekatan dengan sempadan.
“Lebih kurang enam bulan selepas Warisan mengambilalih pemerintahan, terdapat lapan kebakaran di kawasan setinggan-setinggan besar sekitar Sabah tanpa sebarang kematian,” kata beliau.
Tambahnya lagi, trak-trak JPN terus berada di lokasi kebakaran sejurus kebakaran itu berlaku. Beliau syak bahawa dokumen pengenalan terus diberikan kepada ‘mangsa-mangsa kebakaran’ itu.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman juga menaikkan isu pemberian kad pengenalan kepada PATI dalam negeri itu, menurut sebuah artikel di Malay Mail pada 27 Mei 2019 bertajuk Musa denies involvement in Project IC.
“Ancaman terhadap keselamatan Sabah ini hanya wujud selepas Warisan mengambilalih kerajaan pada tahun lepas.
“Kebimbangan ini adalah berasas, lebih-lebih lagi dengan banyak berita dan siaran dalam media sosial yang menceritakan kebakaran yang kerap di kawasan setinggan besar sekitar Sabah, diikuti dengan cerita trak-trak JPN yang datang tidak lama selepas itu dan memberikan dokumen kepada ‘mangsa kebakaran,” kata Musa.
Berita ini seperti penyambungan sebuah projek yang sangat mencurigakan pada tahun 1990an, iaitu Projek IC, di mana golongan PATI di Sabah diberikan kad pengenalan MyKad untuk merubah populasi dan mempengaruhi corak pengundian rakyat Sabah.
Ini bertujuan untuk memberikan kelebihan kepada parti politik tertentu dalam pilihanraya. Pada 2012, bekas senator Dewan Rakyat dan ADUN Chong Eng Leong mengatakan terdapat lebih kurang 700,000 ‘Rakyat Projek IC’ dan 200,000 daripada mereka sudah mendaftar sebagai pengundi.
Trend pemberian IC kepada ‘mangsa kebakaran’ ini amatlah merisaukan. Isu yang diutarakan oleh dua bekas pemimpin negeri ini tentang tindakan kerajaan Warisan, lebih-lebih lagi dengan motif Shafie Apdal (tentang pemberian MyKad kepada PATI Filipina) tidak boleh dinafikan.
Malahan, Shafie juga telah mengangkat larangan terhadap pumpboat yang kerap digunakan oleh PATI di kawasan perairan Sabah. Ini bertentangan dengan saranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang ingin melarang penggunaan pumpboat kerana ia mudah menyelinap pengawasan pasukan penjaga sempadan.
Jika kita lihat pada sejarah keturunan Shafie, beliau mempunyai darah Bajau-Suluk yang berasal dari selatan Filipina. Ini mungkin membuatkan beliau rasa terhubung dengan PATI Filipina di Sabah, membuatkannya berasa simpati dengan mereka dan memberi mereka kewarganegaraan.
Dengan fakta di atas, apa lagi punca tiba-tiba kes kebakaran meningkat sewaktu pentadbiran Warisan? Dan yang pastinya dengan memberikan MyKad kepada PATI Filipina, ‘rakyat-rakyat baru’ ini sudah tentu akan menyokong dan mengundi Shafie.
Secara ringkasnya, terdapat empat isu di Sabah yang berkaitan dengan isu lambakan PATI di Sabah:
- Kebakaran yang kononnnya telah membakar dokumen-dokumen asal dan hasilnya, MyKad diberikan kepada PATI Filipina.
- Penyediaan tanah untuk penempatan semula ‘mangsa-mangsa kebakaran’
- Mengangkat larangan terhadap pumpboat untuk memudahkan kemasukan PATI ke Sabah
- Memberikan kad identity yang mencurigakan di bawah Projek IC.
Akan tetapi, sandiwara pro-Filipina yang paling terhebat setakat ini datang daripada kenyataan Shafie Apdal pada 18 Julai 2019, yang mengatakan “prosper thy neigbour”, merujuk kepada rantau selatan Filipina dan lambakan PATI di Sabah.
Walaupun beliau mengatakan bahawa terdapat satu keperluan untuk memeriksa semula situasi keselamatan Sabah dengan persepektif baharu, lebih-lebih lagi dengan masalah berkaitan selatan Filipina, ujaran “prosper thy neighbour” seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk:
- Mempengaruhi rakyat Sabah untuk menerima kewujudan PATI Filipina di Sabah yang semakin ramai
- Menggalakkan kemasukan lebih ramai PATI dengan mengangkat larangan terhadap pumpboat, di mana ia bertentangan dengan nasihat ESSCOM.
Di sini kita boleh lihat percanggahan dalam keputusan-keputusan Shafie. Katanya mahu mengutamakan rakyat Sabah, namun pada masa yang sama menolak nasihat ESSCOM untuk membuat larangan terhadap pumpboat yang membuka peluang PATI untuk menyelinap ke dalam Sabah.
Sudah tentu tujuan utamanya untuk memastikan kemenangan Shafie Apdal dalam PRU15 kelak.