Pada awal minggu ini, penulis ada membaca sebuah artikel di muka hadapan Daily Express tentang rancangan untuk menubuhkan sebuah pusat bio-industri di Sipitang, Sabah, yang kini tergendala akibat pertelingkahan korporat.
Pada pendapat penulis, pertelingkahan ini adalah sesuatu yang malang untuk daerah itu, kerana perkara ini hanyalah menangguhkan satu potensi pembangunan yang boleh menaikkan taraf ekonomi Sipitang.
Selain mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai sebuah destinasi pelancongan, Sipitang juga sarat dengan sumber semula jadi yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negeri Sabah.
Syarikat Sabah Forest Industries (SFI) yang telah ditubuhkan sejak 1982 dan menjadi antara syarikat pembalakan terbesar di Malaysia, telah memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan sosioekonomi Sipitang.
Kini, kerana situasi pemilikan SFI yang terumbang-ambing, operasi kilang tersebut telah diberhentikan buat sementara waktu.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk melawat pekan Sipitang, iaitu pekan Sabah yang paling hampir dengan sempadan Sarawak.

Penulis juga sempat berborak dengan beberapa pekerja SFI di Sipitang. Setakat ini, walaupun gaji mereka masih dibayar oleh pihak Receiver & Manager, mereka berharapan syarikat tersebut boleh memulakan semula operasi secepat mungkin.
Menurut artikel Daily Express yang disebutkan tadi, Pelangi Prestasi Sdn Bhd (PPSB) sudah pun menandatangani tender untuk membeli semua aset SFI pada bulan Mac tahun lepas, dan juga dianugerahkan lesen pembalakan oleh kerajaan negeri.
Namun, urusan itu tergendala selepas kerajaan negeri baru dilantik di Sabah dan memperkenalkan syarat yang baru dalam perjanjian jualbeli itu.
Manakala PPSB pula menegaskan bahawa syarat baharu itu bertentangan dengan perjanjian jualbeli yang telah ditandatangani pada tahun lepas.
Penulis sendiri tidak pasti mengapakah perkara ini terjadi, tetapi yang pasti jika pertelingkahan ini berterusan ia akan merugikan SFI dan seterusnya terhadap Sipitang itu sendiri, kerana majoriti penduduk daerah itu adalah pekerja SFI. Pendek kata, ia mewujudkan situasi kalah-kalah.
Daily Express juga menerangkan bahawa PPSB sudah pun mempunyai rancangan untuk membangunkan Sipitang sebagai sebuah ‘bioport’ atau biopelabuhan untuk mengeksport produk-produk bio ke serata dunia, selain membangunkan infrastruktur dan kemudahan berpusat.

Semua ini mampu memanfaatkan sumber semulajadi Sipitang yang banyak, namun semuanya tergendala kerana pertelingkahan yang berlaku di peringkat korporat.
Pada pendapat penulis, kerajaan negeri tidak seharusnya menghentikan jual beli SFI oleh PPSB kerana PPSB sudah menandatangani perjanjian jual beli bernilai jutaan ringgit untuk membangunkan SFI.
Ini merupakan sebuah peluang yang lumayan untuk membangunkan bukan sahaja ekonomi Sipitang, malah daerah-daerah berhampiran seperti Tenom dan Beaufort, dengan mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan.
Selain itu, operasi SFI perlu dimulakan semula secepat mungkin agar syarikat itu boleh menjana pendapatan dan membayar gaji kepada para pekerjanya.
Mungkin sekarang gaji para pekerja SFI masih boleh dibayar, tetapi sampai bila, jika operasinya pun tidak berjalan?
Penulis berharap agar sosioekonomi di Sipitang boleh naik tinggi hingga mencapai taraf yang sama dengan pusat ekonomi lain di negeri-negeri Borneo seperti Kota Kinabalu, Miri, Sibu dan Kuching.
Artikel Daily Express itu juga melaporkan sebuah perbicaraan mahkamah tentang pemilikan SFI ini akan dilaksanakan pada 23 Ogos.
Tak kiralah apa-apa pun keputusan mahkamah, penulis berharap ia akhirnya akan memanfaatkan rakyat Sipitang dan daerah-daerah berhampiran.
-Jefri Hasan Salleh