fbpx
Others

Perbaiki Perlindungan Haiwan Liar Di Sabah

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr

Hangat diperkatakan netizen sekarang berkenaan kematian seekor gajah katik (pygmy elephant) di Sungai Udin, Tawau yang dibunuh secara kejam dan gadingnya dipotong.

Pelbagai spekulasi muncul berkenaan pembunuhan haiwan liar itu. Disebabkan salah seorang suspek perbuatan itu adalah seorang peneroka Felda, ada yang terus mengecam agensi itu kerana gagal mendidik para penerokanya dengan lengkap tentang pemeliharaan haiwan liar.

Walaupun pembunuhnya masih belum dikenalpasti, kejadian ini sudah tentunya akan mempengaruhi status Felda dan Sabah dalam usahanya untuk menjaga kelestarian alam sekitar dalam melaksanakan perladangan kelapa sawit.

Sebelum, ini ladang-ladang Felda di Sabah pernah dilanda kontroversi kerana terdapat beberapa pelanggaran undang-undang dalam mengupah pekerja ladang yang datang dari luar negara.

Pembunuhan gajah di Tawau baru-baru ini hanyalah akan lebih memburukkan reputasi ladang-ladang Felda di Sabah.

Ini boleh mempengaruhi daya eksport kelapa sawit negara, terutamanya apabila kerajaan sedang berkempen bersungguh-sungguh untuk mengeksport hasil sawit ke negara-negara Eropah.

Cara pembunuhan gajah itu sendiri sudah menggambarkan penjahat yang tidak berhati perut itu. 70 butir peluru telah ditembak terhadap haiwan itu, dan gambar-gambar bangkainya yang menunjukkan gadingnya dipotong secara ganas sudah tersebar luas di media antarabangsa.

Gajah katik merupakan salah seekor haiwan yang disenaraikan dalam Spesis Dilindungi Sepenuhnya dalam undang-undang negeri.

Ia dikategorikan sebagai haiwan yang terancam kerana bilangannya yang kian berkurang disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan serta konflik di antara gajah dan manusia yang meningkat.

Seharusnya, pekerja-pekerja ladang dan peneroka Felda perlu diberikan latihan dan pendidikan secukupnya tentang hidupan liar yang berkemungkinan akan menceroboh perladangan mereka.

Hidupan liar di Sabah adalah sangat bernilai bukan sahaja daripada segi penjagaan alam sekitar, malah daripada sektor ekonomi kerana ia merupakan sebahagian daripada tarikan pelancongan utama alam sekitar (ecotourism) negeri itu.

Walaupun kerajaan negeri mengatakan syarikat perladangan Sabah sudah mengambil usaha yang banyak dalam memberikan pendidikan, kesedaran dan pemeliharaan haiwan terancam, pembunuhan gajah ini menunjukkan banyak lagi yang kerajaan negeri perlu lakukan dalam menjaga alam semulajadinya.

Jika Datuk Seri Shafie Apdal serius ingin memelihara biokepelbagian Negeri Di Bawah Bayu yang kian terancam, kerajaan negeri harus mengambil langkah yang lebih tegas untuk membendung lebih banyak kematian haiwan yang tidak diingini.

Write A Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.