TINDAKAN Kerajaan Negeri Sabah yang sehingga hari ini masih tidak mempedulikan nasib kira-kira 1,600 pekerja Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. (SFI) terus menjadi tanda tanya semua pihak.
Lebih menggusarkan lagi, kemelut yang melanda SFI ini cukup memberi tekanan kepada penduduk setempat dan yang menjadi mangsa ialah rakyat iaitu pekerja di kilang SFI yang hanya menerima pendapatan asas tanpa sebarang elaun sehingga masalah ini diselesaikan.
Meskipun Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini pernah berjanji akan menyelesaikan isu membabitkan SFI, namun sehingga hari ini operasi syarikat gergasi yang ditubuhkan sejak 1982 dan menjadi antara syarikat pembalakan terbesar di Malaysia tidak lagi meneruskan operasinya sejak dua tahun lalu.
Lebih mendukacitakan rakyat Sabah, usaha memulihkan SFI berada pada tahap memberangsangkan selepas sebuah syarikat Bumiputera, Pelangi Prestasi Sdn Bhd (PPSB) mahu menzahirkan komitmennya demi kelangsungan syarikat tempatan di negeri itu.
Belum cukup dengan itu, Presiden Warisan pula mengambil keputusan untuk menjual SFI kepada sebuah syarikat dari China, Lee & Man Paper Manufacturing Ltd. yang kononnya akan memberi nafas baharu buat SFI amnya dan Sipitang secara keseluruhannya.
Yang menjadi persoalan, kenapa beliau sendiri menidakkan kebolehan dan tidak meletakkan kepercayaan kepada syarikat tempatan dalam menguruskan hasil negeri sehingga sanggup menjual kepada pihak luar.
Adakah beliau mahu menggadai nasib rakyat Sabah khususnya penduduk yang merupakan pekerja di syarikat berkenaan.
Ini yang menjadi kerisauan rakyat di negeri bawah bayu yang selama ini mempertahankan tanah adat agar tidak terlepas kepada pihak luar apatah lagi jika mereka itu bukan dari Malaysia.
Belum reda dengan isu panas itu, kini tular dalam media sosial sekeping surat permohonan tanah seluas 5,000 ekar oleh orang luar Sipitang bernama Antanyu Nulhaji beralamat mengundi di Putatan, Sabah.
Surat permohonan Antanyu itu tular bersama surat Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Rokiah Saleh memanjangkan permohonan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar tujuan pertanian di Kampung Long Mio Sipitang kepada Pengarah Tanah dan Ukur.
Hal itu telah mencetuskan kemarahan warga Sipitang serta rakyat Sabah. Mana tidaknya, sudahlah Warisan gagal membela nasib pekerja di SFI, ditambah pula mahu menjual syarikat keramat Sabah kepada warga China.
Kini, tanah yang menjadi hak milik rakyat Sabah juga mahu dijual kepada orang luar. Akhirnya, apa yang akan dimiliki penduduk tempatan?
Cukup-cukuplah Kerajaan Warisan mahu menganiaya rakyat sendiri.
Sudah-sudahlah menganggungkan orang luar kononnya untuk memulihkan keadaan serta membantu meningkatkan ekonomi negeri.
Berilah kepercayaan kepada anak tempatan waima syarikat tempatan untuk melakukan perubahan yang akhirnya akan memberi manfaat secara menyeluruh bukan sahaja kerajaan, malah kepada penduduk dan anak-anak tempatan.
Janganlah kita menjadi seperti malang pak kaduk, ayamnya menang kampung tergadai.