fbpx

WARISAN Tidak Bersatu Dan Gagal Memenuhi Keperluan Rakyat

Dalam sebuah artikel Borneo Post, Pritchard Gumbaris, setiausaha politik kepada MP Penampang dan naib presiden Warisan, Datuk Darell Leiking, mengeluarkan satu kenyataan tentang kurangnya ketelusan dan keterbukaan dalam projek infrastruktur negeri, Empangan Papar (sekarang dinamakan semula kepada Empangan Kaiduan dan sepatutnya dibina di kawasan Papar, selepas ditukar dari sempadan Penampang-Papar).

Ini mungkin kerana Darell Leiking telah menegaskan bahawa Penampang tidak akan terlibat dalam sebarang projek empangan oleh kerajaan negeri. Maka, Menteri Infrastruktur, Peter Anthony, memutuskan untuk memindahkan empangan ke Kampung Menderingin di Papar.

Ini bukan sahaja membuktikan pertelingkahan dalaman yang berlaku dalam kerajaan Warisan, tetapi juga menunjukkan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin negeri. Soalannya – adakah MP Papar, YB Ahmad Hassan daripada Warisan akan membangkitkan tentangan atau menurut perintah sahaja?

Semua ini cuma sedikit sahaja daripada keputusan-keputusan lain yang tidak konsisten dibuat oleh kerajaan Warisan. Adakah para ADUN sedar mereka dipilih oleh rakyat untuk menjaga keadaan sosioekonomi rakyat?

Walaupun kita menghargai kejujuran, ketelusan dan keterbukaan Pritchard Gumbaris dalam membangkitkan isu-isu kerajaan Warisan, sebuah mesej yang jelas telah disampaikan – bahawa kerajaan Warisan tidak banyak bezanya dengan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

Rakyat telah mengundi untuk mengubah rejim korup BN dan nampaknya kerajaan Warisan yang dipimpin ketua Menteri YAB Shafie Apdal dan menteri-menteri kabinetnya, telah meneruskan amalan-amalan korup itu.

Isu Empangan Papar ini hanyalah satu contoh di mana menteri infrastruktur, Peter Anthony, mengambil keputusannya dengan angkuh tanpa mengambil berat kepentingan masyarakat, rakyat dan NGO di Penampang.

Hanya kerana Peter Anthony mendapat sokongan daripada ketua menteri, dia rasa tidak perlu untuk berinteraksi dengan masyarakat dan pihak-pihak yang berkepentingan. Dia seolah-olah lebih berminat untuk nampak bagus pada mata ketua menteri sahaja. Sikap Peter mencerminkan mutu pentadbiran Shafie Apdal.

Ketelusan Shafie Apdal adalah mencurigakan, dan kerana itu pentadbirannya tidak banyak beza jika dibandingkan dengan BN. Mereka sekadar menurut perintah dan menjadi ‘Pak Angguk’.

Segelintir pengkritik mungkin akan mempertahankan Warisan dan mengatakan parti itu sepatutnya diberi ruang untuk membuat kesilapan kerana ini hanyalah penggal pertama mereka sebagai kerajaan negeri.

Akan tetapi perlu diingat, dalam politik, tiada ruang untuk satu kesilapan pun kerana jika satu keputusan telah dimuktamadkan, ia akan memberi kesan yang berpanjangan terhadap rakyat, ekonomi dan negeri.

Rakyat Sabah tidak mampu untuk bertahan dengan sebarang kesilapan kerana ekonomi Sabah sendiri tidak kukuh dengan majoriti sumbernya daripada cukai, levi dan sebagainya. Hasil pendapatan negeri daripada projek-projeknya adalah sedikit dan tidak terjamin.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk Shafie dan pentadbirannya mula bertemu dengan rakyat untuk sebarang projek. Akan tetapi, mengeluarkan kenyataan palsu dan menyeleweng rakyat sewaktu pertemuan tersebut adalah salah sama sekali.

Contoh yang paling terkini adalah sewaktu majlis buka puasa bersama masyarakat Sipitang baru-baru ini. Shafie berjanji dan menjamin bahawa syarikat pembalakan di situ akan pulih seperti biasa selepas Hari Raya, apabila syarikat itu mengalami masalah kewangan.

Nampaknya, ini semua janji-janji palsu yang dibuat oleh ketua menteri kerana syarikat itu terus dilanda masalah kewangan sehingga gaji para pekerja pun tidak dibayar walaupun Shafie telah berjanji. Di manakah integriti ketua menteri dan Warisan? Adakah mereka betul-betul ingin membantu masyarakat? Adakah mereka mengambil peduli tentang rakyat Sabah?

Jika ketua menteri dan kabinet Sabah ikhlas, mereka harus mencari penyelesaian segera untuk masalah yang dialami rakyat. Jangan sekadar membuat janji manis hanya untuk menyedapkan hati orang Sabah!