fbpx
Berita Sabah

YB Yamani: Tunaikan Tanggungjawab Kamu!

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr

Pada pilihan raya 2018, Yamani bertanding atas tiket UMNO untuk kerusi parlimen Sipitang. Yamani memenangi kerusi tersebut – dan seterusnya lenyap dari mata penduduk Sipitang. Di manakah YB pergi? Mengikuti ayahnya, Musa Aman, yang menghilangkan diri selepas Barisan Nasional gagal mengekalkan Sabah sebagai kubu kuat pembangkang.

Bekas ketua Pemuda UMNO Sabah ini hanya menunjukkan muka sekali lagi pada bulan Januari tahun ini apabila terpaksa pulang mengangkat sumpah di Kuala Lumpur sebelum tempoh yang ditetapkan tamat. Tiada penjelasan yang diberi untuk kehilangannya selama sembilan bulan itu.

Sambil itu, sebelum Yamani pulang untuk mengangkat sumpah, keputusan kemenangannya di Sipitang turut dicabar kerana penglibatan politik wang, antara sebab yang lain. Akhirnya petisyen yang dibawa terhadapnya dibuang, dan Yamani kekal sebagai wakil rakyat Sipitang.

Yamani juga keluar parti UMNO untuk menjadi wakil rakyat bebas pada hujung tahun 2018. Walaupun Yamani telah memohon keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia, sehingga sekarang, keahlian tersebut belum lagi diakui oleh pemimpin PPBM atau Warisan. Dalam senarai ahli Pemuda UMNO Sabah yang meninggalkan parti tersebut secara beramai-ramai, namanya tiada. Dimanakah tempatnya Yamani? Adakah dia tidak diinginkan oleh mana-mana pihak? Adakah ini mungkin kerana selama ini, dia hanya telah menunjukkan yang dia tiada tulang belakang, tiada semangat untuk parti atau konstituensi yang diwakilinya?

Kini kawasan yang diwakilinya, Sipitang, terbabit dalam situasi yang merumitkan ekonomi tempatan – salah satu daripada syarikat terbesar tidak lagi mampu membayar pekerja tempatan secara konsisten. Sabah Forest Industries pada satu masanya mempunyai majikan yang mampu memberi keyakinan kewangan dan stabiliti pekerjaan untuk penduduk tempatan dalam bentuk sebuah syarikat tempatan.

Kami mendengar bahawa syarikat tempatan tersebut dipaksa keluar oleh hal-hal politik, dan kini mereka yang mengendalikan SFI sedang bertungkus-lumus mencari pembeli dari kalangan pelabur China pula. Jika adanya syarikat tempatan yang berkualifikasi dan mampu menjaga kepentingan pekerja SFI, kenapa YB tidak mengambil langkah untuk membawa mereka kembali masuk sebelum keadaan menjadi keruh untuk pekerja SFI? Sudah ada penyelesaian di depan mata, tetapi tiada apa-apa yang dilakukan oleh Yamani untuk menjadikannya reality.

Jadi macam mana sekarang – adakah masa depan penduduk Sipitang dibiarkan begitu sahaja? Takkan tiada apa-apa yang akan dilakukan untuk menolong mereka dari pihak YB.

Inilah peluang Yamani untuk menunjukkan bahawa dia memang mengambil peduli tentang sara hidup penduduk Sipitang. Jika YB bersedia untuk mendengar aduan kesusahan mereka yang diwakilinya, perubahan akan berlaku.

Ataupun adakah Yamani mengikuti jejak ayahnya, Musa Aman, yang dikenali sebagai seorang pemimpin yang tidak mengendahkan suara rakyat Sabah?

Kami ingin bertanya kepada Yamani – adakah Yamani akan mengambil tanggungjawab sebagai wakil Sipitang secara serius? Bilakah YB akan membuat begitu? Selama ini, Yamani berdiam diri, tidak menunjukkan muka, tidak mempertahankan hak-hak mereka yang sepatutnya dijaga olehnya. Adakah YB akan bertindak untuk meningkatkan pendapat orang ramai terhadap kebolehannya yang pada masa ini sangat mengecewakan? Penduduk Sipitang di luar sana, silalah hubungi wakil anda secara beramai-ramai – jika tidak dipaksa, mungkin tiada tindakan langsung akan diambil oleh Yamani selagi menjadi ahli parlimen Sipitang.

Jika tiada perubahan serba baik, apa gunanya menjadi wakil Sipitang?

Write A Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.